SEJARAH ASAL USUL BAKRI, MUAR
Bakri, Johor
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Bakri atau
Bukit Bakri adalah sebuah bandar di
Daerah Muar,
Johor,
Malaysia. Ia terletak sepanjang Jalan Persekutuan
24.
Pada 1991, ia mempunyai penduduk seramai 10,000 orang, yang bilangan
itu digandakan oleh bancian pada tahun 2000 kepada 20,123 orang.
Penduduk Bukit Bakri terkini adalah 30,280 orang. Ia terletak pada
latitud 2° 3' U dan garis bujur 102° 40' T.
Sepanjang
Perang Dunia Kedua, bandar ini menjadi tapak pertempuran Tentera Jepun yang mara ke
Singapura melalui
Parit Sulong dan
Kluang. Terdapat banyak perkuburan
Islam,
Cina,
Hindu dan
Kristian di bandar Bakri termasuk tanah perkuburan perang bersejarah
Jepun dari
Perang Dunia Kedua.
Bandar Bakri sebenarnya merupakan sebuah pekan kecil terletak di Batu
6 Jalan Bakri Muar. Ia lebih dikenali sebagai Pekan Bakri. Pekan Bakri
dan Bandar Muar atau Bandar Maharani dihubungkan oleh Jalan Bakri yang
telah dibina oleh peneroka Kampung Bakri iaitu Haji Mohamad Noh Bin Haji
Lebai Muhamad (1850-1923) seorang saudagar raja dari Cerebon pada tahun
1869. Jalan ini kemudiannya diperbaiki dan diluruskan oleh Dato'
Bentara Luar Johor, Dato' Mohd Salleh bin Perang pada tahun 1890 dan
dinamakan Bakri sempena nama Sultan Abu Bakar. Nama ini diberi sebagai
tanda kesetiaan penduduk Bakri yang terdiri dari orang-orang Jawa dan
Melayu Pagoh yang mempunyai ikatan tali persaudaraan dengan Orang Kaya
Muar. Jalan Bakri sebelum merdeka memegang rekod sebagai jalan
terpanjang dan terlurus di Johor yang diukur dan dibina oleh Dato' Mohd
Salleh Bin Perang. Jalan ini pernah menjadi kemegahan orang Muar khasnya
orang Bakri apabila menceritakan keadaan jalan yang dianggap terbaik di
Johor ketika itu. Orang boleh melihat kaki Bukit Bakri di Batu 6
walaupun sejauh 6 batu kerana lurusnya jalan ini.
Sebelum kawasan ini dikenali sebagai Bakri, kampung ini dikenali
sebagai Kampung Jawa. Kampung Jawa telah dibuka pada tahun 1869 atas
titah Temenggong Abu Bakar kepada Orang Kaya Joned. Orang Kaya Joned
telah menyuruh anak angkatnya Hj Mohd Noh bin Hj Lebai Muhamad, seorang
saudagar raja dari Cerebon yang kaya berasal dari Jawa dan baru menetap
di Muar dengan orang-orangnya menebas hutan dan membuka kampung. Apabila
Hj. Mohd Noh mewakafkan sebahagian tanahnya untuk mendirikan Sekolah
Melayu di Batu 2 Bakri dan mula dibuka pada tahun 1900, semua kawasan
sekitarnya dikenali sebagai Bakri.
Dari Bandar Maharani ke Bakri Batu 3, penduduknya terdiri kaum
kerabat Hj Mohd Noh yang mempunyai pertalian dengan Orang Kaya Muar
serta kerabat isterinya Tun Zainab atau Tun Hawa bt Engku Muda Mansor
dari Pagoh berketurunan kerabat diraja Pahang. Manakala dari Batu 3
hingga ke Batu 5 didiami oleh kaum kerabatnya berketurunan Jawa dari
Cerbon dan di Bakri Batu 6, beliau menggalakkan kaum Cina yang bekerja
sebagai pelombong bijih dan pekebun mendiami satu kawasan padat yang
akhirnya menjadi Pekan Bakri Batu 6 atau Pekan Bakri. Beliau telah
menjadi Naib Penghulu tidak bertauliah kepada Orang Kaya Muar dari 1871 -
1915 apabila menyerahkan jawatannya kepada anak sulongnya Hj Long dan
beliau meninggal pada 1923.