Rabu, 24 Mei 2017

Asal usul nama Serom Sungai Mati Tangkak

Asal usul nama kampung Serom Sungai Mati Tangkak.

Kampung Serom di buka pada awal tahun 1600. Nama asal Kampung Serom dipercayai diambil daripada perkataan “Seram” dan “Harum”. Orang pertama yang dipercayai membuka Kampung Serom ialah Datuk Penghulu Abdullah yang sangat dihormati dan disanjung pada masa itu. Abdullah dikatakan berketurunan Jawa yang datang dari Pulau Jawa, Indonesia bersama 30 orang pengikut.
Pada satu ketika beliau dan pengikutnya telah tersesat di sebuah hutan tebal yang banyak di huni binatang liar. Setelah berpenat lelah dan usaha mencari jalan keluar tidak berhasil, Abdullah tergerak untuk meneroka kawasan itu dan dipersetujui oleh pengikutnya. Beliau kemudian di lantik menjadi ketua dan digelar Penghulu di kalangan pengikut-pengikutnya. Di ceritakan juga, pengikut Abdullah percaya kawasan mereka tersesat itu berhantu yang menyebabkan mereka tidak dapat mencari jalan keluar. Menurut kepercayaan, hantu-hantu tersebut menjadi marah kerana tempat tinggal mereka telah diganggu.
Selang beberapa hari kemudian, beberapa orang telah terhidu sesuatu yang harum di kawasan hutan itu. Keadaan itu menimbulkan kegelisahan di kalangan pengikut Abdullah kerana berasa seram dan takut. Bau harum itu juga selalu menganggu kehidupan mereka. Berdasarkan peristiwa tersebut, kumpulan pengikut Abdullah ingin memberi nama kawasan itu dengan nama "Harum" sementara sebahagian yang lain ingin memberi nama "Seram".
Akhirnya terjadilah perbalahan di antara mereka, namun dapat diselesaikan dengan mudah oleh Datuk Penghulu Abdullah. Beliau telah mencadangkan agar nama kampung tersebut diberi nama “Serom” menggantikan nama asalnya iaitu “Seram” dan “Harum”. Akhirnya mereka bersetuju kawasan petempatan mereka dinamakan sebagai “Serom”. Kawasan Serom yang mula-mula dibuka adalah kawasan Serom 3 dan juga dikenali dengan Kampung Serom Panggung. Inilah tempat asal Penghulu Abdullah dan orang-orangnya mula bertapak. Keturunan Penghulu Abdullah masih lagi mendiami kawasan Serom.
Kampung Serom bermula dari Serom 1 sehingga Serom 8. Kampung Serom termasuk dalam DUN Serom di dalam parlimen Ledang. Sungai Mati adalah pekan bagi kampung Serom. Rumah kelahiran bekas mentari besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman juga berada di Sungai Mati. Kampung Serom telah mengalami perubahan pesat dari aspek pembangunan dengan pertubuhan rumah rumah kedai di sekitar nya. Sebuah pusat pengajian tinggi awam juga telah di bina di Serom untuk kemudahan penduduk di sekitar kampung Serom.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan