Sabtu, 6 Mei 2017

Sejarah Bandar Tekstil Tangkak, Johor






 Bandar Tangkak


 Air Terjun Gunung Ledang

sumber gambar :google

SEJARAH BANDAR TEKSTIL TANGKAK

Di sebalik gelaran bandar syurga tekstil, terdapat kisah bagaimana Tangkak mendapat namanya. Selain kisah Puteri Gunung Ledang yang begitu terkenal dalam lipatan sejarah, Tangkak sebenarnya mula diterokai pada abad ke-19 oleh sekumpulan orang yang berasal dari Pagar Ruyung, Indonesia. Mereka pada asalnya tiba pada abad ke-18 di sebuah tempat dikenali sebagai Cohong yang terletak di Melaka dan kemudian menyusuri ke hulu Sungai Kesang sebelum mudik menuju ke arah Gunung Ledang.

Di tebing sungai tersebut, terdapat sebuah bukit dan kumpulan tersebut meredah hutan berpaya menuju ke bukit itu dalam keadaan merangkak-rangkak melalui akar dan rotan yang menjalar di sekelilingnya.
Setelah kampung berjaya dibuka, mereka sering berulang-alik ke tempat asal di Cohong dan apabila diajukan pertanyaan ‘engkau duduk tang mana?’, maka dijawab mereka, ‘aku duduk tempat tang merangkak sana’.
“Oleh kerana sering menyebut perkataan tempat merangkak atau ‘tang merangkak’ maka akhirnya diringkaskan menjadi sebutan Tangkak,” katanya.

Pada tahun 1901, Kerajaan Johor mewujudkan sistem pentadbiran moden apabila Pusat Pentadbiran di Cohong dipindahkan ke bandar Tangkak. Taraf daerah diberikan dan pentadbirannya bergelar Pegawai Daerah. Ketika itu Negeri Johor mempunyai Sistem Pesuruhjaya Kerajaan yang mengetuai pentadbiran daerah yang besar dan Pegawai Daerah ditugaskan mentadbir daerah yang kecil.

Selepas tamat perang dunia kedua, sistem pentadbiran daerah telah diubah. Jawatan Pesuruhjaya Kerajaan telah dihapuskan dan Pegawai Daerah ditugaskan mentadbir Daerah Besar, manakala Penolong Pegawai Daerah mentadbir daerah kecil. Tangkak merupakan daerah kecil pada ketika itu.

Tangkak juga dikenali di kalangan penduduk tempatan dengan gelaran Syurga Kain atau Bandar Fabrik kerana mempunyai banyak kedai kain yang menjual pelbagai fabrik yang cantik. Memang tidak dapat dinafikan apabila menjejakkan kaki ke Tangkak, kita boleh lihat dari kiri dan kanan jalan dipenuhi dengan deretan kedai-kedai kain tersebut.

Bandar Tangkak hanya 17km dari Gunung Ledang yang merupakan gunung tertinggi di Johor. Gunung ini dapat dilihat dengan jelas dari mana-mana sudut bandar Tangkak. Gunung Ledang terkenal dalam lagenda Puteri Gunung Ledang

Kredit : Tourism Johor

2 ulasan: